Perkembangan Chula Rajamontri

Era demokrasi moden

Selepas perubahan sistem pemerintahan Thailand, kedudukan Chula Rajamontri telah berubah daripada sebuah jawatan yang dilantik oleh Raja dan disandang oleh keturunan Syeikh Ahmad yang sentiasa beraliran Syiah, bertukar kepada sebuah jawatan yang dipilih oleh perwakilan Majlis Islam Wilayah dan mereka yang dipilih adalah Muslim yang beraliran Sunni, yang menjadi pegangan majoriti umat Islam di Thailand.[3]

Semasa pentadbiran Perdana Menteri Pridi Banomyong, jawatan Chula Rajamontri telah dihidupkan semula pada 1945 dengan menjadi penasihat kerajaan kepada Raja dalam hal ehwal agama Islam. Pada 1948, pentadbiran Perdana Menteri Plaek Phibunsongkhram menukar peranan Chula Rajamontri menjadi penasihat Jabatan Hal Ehwal Agama di Kementerian Pendidikan. Walau bagaimanapun, selepas penggubalan Akta Pentadbiran Pertubuhan Islam 1997, dinyatakan dalam undang-undang tersebut bahawa Chula Rajamontri ialah pemimpin hal ehwal Islam di Thailand, yang mempunyai peranan berikut:

  • Memberi nasihat dan pendapat kepada kerajaan berkenaan agama Islam.
  • Melantik pakar-pakar yang berkelayakan untuk memberi nasihat tentang hukum agama Islam.
  • Mengumumkan keputusan melihat anak bulan untuk menentukan hari keagamaan yang penting.
  • Mengeluarkan pengumuman berhubung keputusan (fatwa) mengikut hukum Islam.
  • Menjadi pengerusi jawatankuasa penganjur sambutan Maulid peringkat negara di Thailand

Daripada undang-undang ini juga telah ditubuhkan Majlis Pusat Islam Thailand, yang terdiri daripada Chula Rajamontri sebagai yang dipertua dan dianggotai oleh ahli jawatankuasa lain daripada wakil Majlis Islam Wilayah dan ahli jawatankuasa yang dicalonkan oleh Chula Rajamontri. Semua ahli jawatankuasa memainkan peranan dalam pentadbiran pertubuhan agama Islam, manakala Pejabat Chula Rajamontri (Pejabat Syeikhul Islam) turut ditempatkan dalam majlis tersebut.

Sejurus selepas penguatkuasaan undang-undang tersebut pada 1997, Prasert Mahamad, Chula Rajamontri ketika itu, meninggal dunia.[4] Sawasdi Sumalayasak, bekas Ahli Parlimen Bangkok telah dipilih untuk menjadi Chula Rajamontri seterusnya dan menjadi Chula Rajamontri pertama yang dipilih mengikut undang-undang tersebut.[5]